Pages

Friday, April 15, 2011

Bedah Afaatun 'Ala at-Tariq 02 - Mukaddimah

Dalam muqaddimahnya, beliau menyebut, setelah puji-pujian dan ucapan selawat:

(Buku ini) menjelaskan pelbagai jalan kepada para aktivis yang sedang berjalan menuju Allah dengan membawa agamanya untuk mengambil bekal dan persiapan agar perjalanannya tidak terputus, tidak terlambat dan tidak ketinggalan kenderaan penyelamat, merupakan suatu keharusan yang tidak boleh ditinggalkan dan diabaikan. ia merupakan suatu keharusan yang diwajibkan oleh dakwah dan jihad untuk menegakkan agama Allah di atas muka bumi.

Dan di antara pelbagai masalah yang terpenting ialah bahawa terdapat penyakit-penyakit dan bencana yang mungkin saja menimpa sebahagian aktivis gerakan dakwah Islam, lalu menghambat dan menghalangi mereka dalam menunaikan tugas dan kewajipannya.

Baiklah kiranya dalam kesempatan ini kami dedahkan penyait-penyakit tersebut dengan sedikit penjelasan agar para aktivis dapat berhati-hati dan membersihkan diri dari pelbagai penyakit tersebut.

Hanya kepada Allah saja tujuan perjalanan ini.

(ABU ABDUR RAHMAN - tamat muqaddimah pengarang)

Buku ini terdiri daripada 4 jilid. Dalam jilid pertama beliau menyenaraikan 12 penyakit, iaitu:

1. Futur - فتور
2. Israf - إسراف
3. Istikjal - إستعجال
4. Uzlah - عزلة
5. I'jab bin nafsi - إعجاب بالنفس
6. Ghurur - غرور
7. takabbur - تكبر
8. Riya dan Sum'ah - رياء وسمعة
9. ittiba'ul hawa - إتباع الهوى
10. at-tatholi'u ila shodarah wa tholabu ar-riyaadah - التطلع إلى الصدارة وطلب الريادة
11. Dhayyiqul afaq aw qashirun nadzor - ضيق الآفاق أو قصر النظر
12. Dho'fu aw talasyi al-iltizam - ضعف أو تلاشى الإلتزام

insya ALLAh lepas ni kita akan tengok secara super ringkas setiap satu. mudah2an ALLAh berikan kelapangan.

Tuesday, April 12, 2011

12 April 2011 - Selasa

Mengambil kesempatan malam yang kosong ini dengan keluar bersama-sama isteri tercinta. Menuju ke The Spring dengan memacu kuda QAV kesayangan. Selepas kira-kira sejam membelek-belek buku di MPH, kami bersetuju membeli dua buah buku:

Terbitan al-Hidayah Publisher dan ar-Risalah Product Sdn. Bhd. Tajuk muka depannya sahaja cukup menerangkan isi dalam buku ini.

Terbitan PTS Professional. Berkaitan komunikasi suami isteri. Untuk pasangan yang bakal berkahwin, baru berkahwin, malah yang telah lama berkahwin. Penterjemah buku ini sendiri menceritakan dalam mukaddimah buku, walaupun telah tujuh tahun berkahwin tapi begitu banyak benda baru yang beliau pelajari dalam perhubungan suami isteri setelah membaca buku ini. Sebelum ini saya pernah membeli edisi bahasa inggeris, bersama-sama buku 'Why Mars and Venus Collide' tapi hanya sekelumit yang terbaca. Alhamdulillah kali ini berjaya mendapatkan edisi Bahasa Melayu. Tahniah kepada PTS yang semakin giat dengan aktiviti terjemahan.

Saturday, April 9, 2011

9 April 2011 - Sabtu

Seminar Muslimah Ukhtiku Sayang, anjuran Biro Wanita ISMA Sarawak. Pengisi dijemput khas dari Kedah. Diadakan di BS2 CTF2 UNIMAS, khusus untuk akhawat. Saya bersama beberapa orang ikhwah ditugaskan menjadi baby sitter. Sebelah paginya, hanya ada seorang baby yang didaftarkan dan dijaga oleh empat orang baby sitter! Pada sebelah petangnya baharulah bertambah lagi beberapa orang kanak-kanak.

Pengisi jemputan membawa bersama beberapa barangan jualan. Salah satunya ialah sebuah buku yang sangat menarik untuk ditelaah:

Terbitan Alam Raya Enterprise. Tulisan seorang da'ie di Indonesia, al-Fadhil Ustaz M. Lili Nur Aulia. Beliau menghimpunkan beberapa makalah dan temubual ke dalam sebuah buku kecil. Sebelum ini beliau menulis buku 'Cinta di Rumah Hassan al-Banna' yang menekankan peranan seorang ayah. Kali ini beliau membentangkan pula kekuatan seorang ibu dalam rumah al-Banna, yakni ibu al-Banna sendiri, dan ibu kepada anak-anak beliau, yakni isterinya. Sangat baik untuk tatapan keluarga.

Saturday, March 26, 2011

26 Mac 2011 - Sabtu

Menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-12 Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bertempat di Dewan Seminar, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), berhadapan dengan Masjid Negara, bersama-sama al-Akh Dr Khairol bin Jambli.

Pertama kali menjejakkan kaki ke masjid negara. Sebelum ini cuma berpeluang menonton di kaca TV sahaja. Agak menyedihkan apabila tertinggal al-Quran terjemahan di sini.

Sewaktu AGM berlangsung, beberapa gerai di buka. Saya mendapatkan dua buah buku di gerai ISMA Seremban, iaitu:

Terbitan ISMA. Merupakan modul usrah yang diterbitkan oleh ISMA selepas dibincangkan dalam AGM ke-8 pada 2005. Menekankan perkara asas bagi setiap muslim dari aspek aqidah, ibadah, akhlak, pengurusan, fikrah dan sirah tokoh.

Terbitan Biro Pembangunan Sumber Manusia ISMA Pusat. Merupakan himpunan artikel al-Fadhil Ust Azizee Hassan dalam blog beliau. Membahaskan dunia dakwah dan tarbiyah secara ringkas dengan ayat-ayat yang mudah dihadam. Sangat berguna sebagai bekalan ringan para du'at.

Keesokannya (27 Mac) diadakan Sambutan Hari Keluarga. Namun saya tidak berkesempatan menghadiri kerana penerbangan balik adalah pada waktu tengah hari. Jazakallah khair kepada akhi Lufthi, anak jati Sarawak yang telah empat tahun bekerja di KL, kerana sudi menghantarkan saya ke KLIA.

Sewaktu menunggu waktu berlepas, seperti biasa apabila berada di lapangan terbang, saya akan menghabiskan masa di kedai buku. Mana tahu jika ada yang berkenan. Walaupun buku di sini tidak begitu banyak, sesuai dengan saiz kedai yang kecil, saya membeli sebuah buku iaitu:

Terbitan MPH Publishing. Biografi Tun Dr Mahathir yang dipersembahkan dalam bentuk ilustrasi. Sangat menarik! Mengisahkan secara ringkas kisah hidup Tun M sedari kecil sehingga ketika beliau bersara dari jawatan Perdana Menteri.

Tuesday, January 25, 2011

25 Jan 2011 - Rabu

Dalam jam 5.00 petang, selepas keluar dari lab dan usai menunaikan solat Asar, saya terus memecut kuda yamaha merah dengan kapasiti enjin 100cc menuju ke Boulevard. Tujuannya adalah untuk membeli sebuah planner 2011. Beberapa hari sebelumnya sempat ke MPH di The Spring, tapi tak mendapatkan planner yang diingini. Jadi kali ini nak cuba tengok-tengok di kedai Popular pula. 


Tiba di Popular, teringat hadith orang melayu, "Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan." Jadi alang-alang dah datang ke kedai buku, pusing lah dulu satu kedai. Mana tahu ada buku lain yang berkenan. Dan hasilnya, hati ini telah terpikat dengan beberapa judul, tapi hanya membeli sekadar yang termampu.


Terbitan Kharisma Network. RM24.00 harga Sarawak. Buku pertama yang berrjaya mencuri perhatian saya. "Kenapa beli novel? Buang tabiat? Tak pernah-pernah ko beli novel?" Hehe... Tertarik dengan tajuknya, "Perbandingan Islam dan Kristian," dan di bawah cop di bahagian atas kanan buku tertera "kisah benar". Setelah membaca sinopsis, tiada apa lagi yang terlintas melainkan perlu memilikinya. Sebuah kisah nyata yang berlaku kepada Isabella, seorang anak gadis Ketua Paderi di Cordova. Sebuah lagenda sejarah yang terkenal. Tapi gambar kulit depan tu bukan Isabella, cuma sekadar hiasan.


Terbitan Utusan Publications. RM25.50 harga Sabah Sarawak. Merupakan himpunan tulisan Dr Ridhuan Tee Abdullah yang dimuatkan dalam Mingguan Malaysia dan majalah Al-Islam. Juga boleh didapati di blog beliau. Saya sudah lama mengagumi tulisan beliau yang berani dan telus. Tambah hormat kerana seorang asal bangsa Cina seperti beliau banyak menulis tentang isu kaum Melayu Islam. Sebuah pendedahan berani kenapa dan mengapa kaum Melayu masih ketinggalan di bumi sendiri walaupun dengan pelbagai keistimewaan dan peruntukan.


Terbitan Karya Bestari. RM16.00 harga Sarawak, tapi alhamdulillah saya dapat dengan harga Semenanjung, RM13.00! Penulis yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Al-Fadhil Ustaz Zaharuddin. Merupakan himpunan tulisan dari blog beliau berkaitan persoalan akidah dan hukum hakam kontemporar dalam isu ibadah.


Terbitan Karya Bestari. RM20.00 untuk Sarawak. Himpunan nukilan-nukilan bermanfaat yang termuat dalam blog Ummuhusna, isteri kepada UZAR. Hanya beberapa artikel dari buah tangan UZAR. Fokusnya kepada isu kekeluargaan. Sangat sesuai untuk pasangan yang akan dan telah mendirikan rumah tangga. Buku ini dibeli sebagai hadiah berharga buat isteri saya tercinta, yang telah banyak berkorban untuk suaminya.


Dan akhirnya, planner 2011. Walaupun tujuan asal ke sini ialah untuk mendapatkan planner, tapi buku inilah yang terakhir sekali dicari dan dibeli. Beli yang kecil, molek dan murah saja. 

Monday, January 24, 2011

Muqaddimah

ASSALAM'ALAIKUM WA RAHMATULLAH!

Idea mewujudkan blog ini tercetus sewaktu dalam perjalanan pulang dari membeli buku di kedai buku Popular di Boulevard Kuching. Tujuannya ialah berkongsi bahan bacaan, samada yang dibeli atau yang saya peroleh dari internet, dengan ikhwah akhawat dan rakan taulan lain. Juga sebagai sebuah catatan kenangan yang harganya tidak ternilai, terutama setelah 5, 10 tahun, apalagi setelah beberapa buah buku sebelum ini banyak juga yang 'dipinjam tapi tak dimaklumkan', apalagi nak dipulangkan. Selain sebagai suatu bentuk alternatif dalam mewujudkan katalog buku yang saya miliki.

Mudah-mudahan blog yang kecil ini dapat memberikan manfaat walau sekelumit kepada sesiapa yang bertandang.